Maritim Malaysia tahan empat PATI, seludup barang dan racun ikan

Maritim Malaysia tahan empat PATI, seludup barang dan racun ikan

Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot bersama empat pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu Operasi Khas di perairan daerah ini, semalam.

Tangkapan dilakukan selepas disyaki menangkap ikan menggunakan racun dan melakukan aktiviti penyeludupan keluar barang kawalan tanpa kebenaran yang sah.

Tangkapan empat PATI warga Filipina selepas disyaki menangkap ikan menggunakan racun dan melakukan aktiviti penyeludupan keluar barang kawalan.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat risikan dan sebuah bot ronda Maritim Malaysia ditugaskan bagi melaksanakan operasi khas berkenaan.

Katanya, tangkapan pertama dikesan pada kedudukan hampir dua batu nautika Selatan Pulau Lingkutan, Pulau Banggi, pada jam 6.45 pagi, selepas pam bot dinaiki dua lelaki warga Filipina disyaki melakukan kegiatan menangkap ilan menggunakan racun.

“Hasil pemeriksaan menemukan peralatan meracun ikan (sujum) dalam bot berkenaan. Manakala sebuah lagi, bot enjin sangkut bersama dua penumpang warga Filipina dikesan di kedudukan 2.2 batu nautika di tempat yang sama, jam 8 pagi.

“Selepas diperiksa mendapati bot berkenaan membawa barangan yang dikategorikan sebagai barang kawalan bersubsidi iaitu minyak masak paket berjumlah 323 kilogram tanpa surat kebenaran daripada pihak berkuasa.

“Kegiatan penyeludupan minyak masak ke negara jiran masih berlaku berikutan harga runcit pengguna untuk minyak masak jenis paket satu kilogram lebih rendah di Malaysia berbanding pasaran negara jiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut juga mendapati, kedua-dua bot itu tidak mempunyai lesen serta individu terbabit tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang lengkap ketika diperiksa.

“Keempat-empat tangkapan berusia 22 hingga 56 tahun dan barang rampasan termasuk dua bot beserta enjin sangkut dan enjin pam dianggarkan bernilai RM37,307.50.

“Kes disiasat mengikut Seksyen Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|