Kolaborasi Pernas, DIDR lahirkan ramai usahawan IKS Sabah

Kolaborasi Pernas, DIDR lahirkan ramai usahawan IKS Sabah

Kota Kinabalu: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menandatangani memorandum kolaborasi (MoC) dengan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah (DIDR) dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan di negeri ini.

Menerusi kolaborasi itu, usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) akan menerima bimbingan melalui projek ‘Be Your Own Boss’ (BYOB) dan bantuan geran sebanyak RM400,000 yang dikenali sebagai Bantuan IKS (BAIKS) di Sabah.

Ia juga bertujuan membantu usahawan-usahawan kecil Bumiputera dan bukan Bumiputera di Sabah yang terjejas perniagaan berikutan kesan pandemik Covid-19.

Pengerusi Pernas, Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, antara matlamat kolaborasi berkenaan adalah untuk meningkatkan bilangan usahawan IKS menceburi bidang perniagaan berlandaskan sistem francais dan prafrancais.

Katanya, projek BYOB turut menawarkan dua program antaranya ‘Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET)’ untuk wanita dan program ‘Young Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY)’ untuk golongan belia.

“Melalui projek BYOB, usahawan berpeluang mengikuti latihan berstruktur, padanan perniagaan, pembiayaan dan pemantauan perniagaan selama enam bulan apabila bermulanya perniagaan.

“Pernas menyasarkan untuk melahirkan 1,000 francaisi dan prafrancaisi melalui kedua-dua program berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas majlis menandatangani MoC di Le Meridien Hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Tamin Zainal; Timbalan Setiausaha Tetap II, Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah, Adam Valentine dan Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah (DIDR), Tseu Kei Yue.

Menurut Zakaria, sejak projek itu diperkenalkan, seramai 1,070 orang peserta sudah mendaftar sebagai peserta BYOB dan sebanyak RM19 juta diperuntukkan dalam melaksanakan projek BYOB.

Katanya, MID akan menyalurkan geran kepada usahawan yang berjaya menyertai projek BYOB menerusi agensinya, DIDR dengan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi setiap usahawan.

“Kita menjangkakan sekurang-kurangnya 20 usahawan di Sabah akan mendapat manfaat daripada kolaborasi yang dilaksanakan.

“Majlis pada hari ini menandakan satu lagi komitmen dan inisiatif Pernas dalam merealisasikan mandat dalam meneraju industri francais di Malaysia.

“Pernas sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, kementerian, pihak swasta, penggiat industri dan juga badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan amnya seterusnya merancakkan pertumbuhan industri francais,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|