Tukang cuci dipenjara lapan bulan, denda RM1,500 guna kad ATM orang lain

Tukang cuci dipenjara lapan bulan, denda RM1,500 guna kad ATM orang lain

Keningau: Seorang tukang cuci dipenjara lapan bulan dan denda RM1,500 selepas mengaku salah menggunakan kad ATM milik orang lain pada bulan lalu ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Julisah Angkasang, 33, yang didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan turut berdepan tambahan dua bulan lagi penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Majistret Nur Asraf Zolhani yang mendengar kes itu memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 3 April lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Julisah didakwa secara curang menjadikan kad ATM CIMB milik orang lain yang dikenali sebagai Stephene Godwin Janggum sebagai kegunaan sendiri.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan menggunakan kad ATM berkenaan antara 20 Mac hingga 30 Mac lalu di Bataras Hypermarket, Keningau.

Akibat perbuatan itu, pemilik kad ATM berkenaan dilapor mengalami kerugian sebanyak RM1,365.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Rayner Joseph.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|