Ops Bazar: Peniaga berkuku panjang antara dikenakan kompaun

Ops Bazar: Peniaga berkuku panjang antara dikenakan kompaun

Sandakan: Peniaga berkuku panjang antara yang dikenakan kompaun dalam Ops Bazar Ramadan dikendalikan Pejabat Kesihatan Sandakan, bermula semalam.

Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, kesalahan yang dikaitkan dengan kebersihan diri itu adalah antara tujuh kompaun yang dikeluarkan pihaknya dalam operasi pertama itu.

Pegawai Pejabat Kesihatan Sandakan menjalankan pemeriksaan di Bazar Ramadan.

“Kita mengenal pasti beberapa kesalahan yang dilakukan oleh pihak penjual makanan di bazaar, setakat ini kita mengenakan tujuh kompaun daripada 27 gerai yang kita lawati.

“Kesalahan lebih kepada Perkara 32 yang melibatkan isu pakaian, ada yang tidak memakai apron, ada yang tidak pakai kasut dan sebagainya.

“Kemudian Perkara 33 yang melibatkan pengendali makanan tidak menjaga kebersihan, contohnya kuku panjang dan ada juga dikompaun kerana tiada sijil pengendali makanan,” katanya.

Ops Bazar Ramadan di Sandakan dilancarkan semalam dengan pemeriksaan dimukakan di Bazar Ramadan Bandar Sandakan membabitkan seramai 22 Pegawai Kesihatan dan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

Tumpuan operasi ialah aspek pematuhan peraturan yang ditetapkan dalam penyediaan makanan.

Johari berkata, kesalahan lain yang turut dikesan ialah tidak menutup makanan penggunaan tempat menyimpan ais yang tidak betul dan tong sampah tidak ditutup.

Katanya, dalam beberapa kesalahan, pihaknya hanya memberi teguran awal namun jika penyedia makanan dikesan masih gagal mematuhi, kompaun akan dikeluarkan.

“Ops Bazar ini akan diteruskan ke enam lagi Bazar Ramadan di Sandakan. Bazar yang sudah diperiksa juga akan diperiksa semula secara berkala.

“Peniaga makanan di bazar perlu peka dan sentiasa menjaga kebersihan bagi memastikan makanan yang dijual bersih dan selamat untuk dimakan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|