Kota Kinabalu: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) memuji usaha pembuat filem tempatan dalam mempromosikan negeri ini dan destinasi pelancongan luar bandarnya menerusi karya mereka.
Pengerusinya, Datuk Joniston Bangkuai, berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan usaha seumpama itu dan menyifatkannya sebagai cara yang baik mempromosikan pelancongan Sabah.
“Ini adalah usaha yang baik untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pelbagai tarikan yang ada di Sabah dan merangsang rasa ingin tahu mereka terhadap negeri ini,” katanya ketika menerima kunjungan rombongan Penerbit Filem, Chester Pang, di pejabatnya, di sini, semalam.
Kunjungan itu untuk membincangkan potensi pelancongan filem di negeri ini dan perancangan mereka untuk mempamerkan daya tarikan Sabah melalui filem dan pembikinan video promosi yang mampu menarik minat orang ramai melawat Sabah.
Antara karya itu ialah video pendek ‘Discover Kiulu’ yang sedang dalam proses penggambaran dan filem komedi dalam bahasa Mandarin ‘Craze Below The Wind’.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah penerbit dan pengarah Froggy Planet, Katak Chua; Timbalan Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu, Lasmen Lopuk; wakil Pro-Merge Vision dan pengarah filem tempatan, Ramli Carlo.
Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, berkata klip video yang dihasilkan itu juga boleh dimanfaatkan untuk dipaparkan di pusat informasi pelancongan sebagai panduan pelancong.
“Kiulu, sebagai contoh, telah dipilih oleh kerajaan negeri sebagai model pelancongan luar bandar. Tidak lama lagi Kiulu akan mempunyai pusat informasi pelancongan yang mana klip video seperti ini boleh dipaparkan.
“Kita juga berharap agar destinasi-destinasi lain menjadi inspirasi pembikin filem untuk dipaparkan dalam karya produksi filem.
“Kebanyakan produk luar bandar adalah hampir sama. Oleh itu, pembikin filem juga harus mencari tarikan baharu untuk ditonjolkan,” katanya.
Joniston berkata Sabah perlu membezakan dirinya dengan wilayah lain di Borneo, iaitu Sarawak dan Kalimantan.
Jelasnya, STB sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan penerbit filem tempatan untuk mempromosikan aspek pelancongan Sabah yang tersendiri.
Sementara itu, Chester yang juga penerbit Can Bah Production, berkata penggambaran ‘Discover Kiulu’ dijangka siap pada penghujung bulan ini.
Katanya, video promosi berdurasi 90 saat itu juga bakal dipaparkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Bagi filem ‘Craze Below The Wind’ yang berdurasi 90 minit, katanya ia bakal ditayangkan pada bulan depan.
Diterbitkan oleh Can Bah Production, ‘Craze Below The Wind’ mengisahkan mengenai dua beradik yang berdepan dengan masalah dan terpaksa mengembara ke seluruh Sabah dengan membawa beg pakaian misteri.
Chester berkata filem itu yang ditangguh sejak 2020 akibat pandemik Covid-19 akan ditayangkan di 53 pawagam, termasuk di Brunei.
Sementara itu, Katak berkata filem berkenaan mendapat sambutan positif ketika ujian tayangan dengan tujuh daripada 10 responden menyatakan minat untuk melawat Sabah.
“Pembikinan filem itu melibatkan seramai 52 krew dengan 80 peratus daripada mereka adalah rakyat Sabah. Kami mahu mempromosikan pelancongan melalui industri perfileman kerana ia boleh memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Kami berharap STB dapat bekerjasama dengan pembikin filem untuk menjayakan industri pelancongan filem di negeri ini,” katanya.
-Deasoka