Bukan enggan naik taraf, tapi tidak boleh bina gerai di bahu jalan – Arifin

Bukan enggan naik taraf, tapi tidak boleh bina gerai di bahu jalan – Arifin

Membakut: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif memahami harapan peniaga tepi jalan di Kampung Binsuluk, dekat sini, yang meminta supaya gerai mereka dinaik taraf menjadi deretan gerai yang lebih selesa untuk dikunjungi orang ramai.

Beliau bagaimanapun berkata, pengubahsuaian atau pembaikan gerai terbabit perlu mengikut peraturan ditetapkan pihak berkaitan terutama Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Memang kalau dibenarkan kita akan buat gerai tersebut sudah lama sebenarnya tetapi mengikut undang-undang, di bahu jalan memang tidak dibenarkan untuk dibina gerai.

“Jadi saya minta pihak pejabat daerah berbincang dengan masyarakat berkenaan kerana itu adalah isu keselamatan dan kalau kita bina gerai di sana, kita bekerjasama dengan hal yang tidak sepatutnya kita buat,” katanya kepada media selepas program ziarah Ramadan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung permintaan peniaga supaya gerai tempat mereka menjual hasil laut di kawasan berkenaan dapat dinaik taraf.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum ini sudah ada gerai yang dibina berhampiran lokasi berkenaan namun peniaga lebih selesa untuk meneruskan perniagaan mereka di tepi jalan terbabit.

“Sebelum ini memang kita sudah sediakan tetapi mereka lebih selesa di tempat berkenaan. Jadi mungkin selepas ini kita akan mencari jalan lain bagaimana caranya dan akan dibincang dengan pejabat daerah,” katanya.

Pada Februari lalu, Deasoka.com melaporkan lebih 10 peniaga berharap gerai yang sudah berusia 20 tahun itu dinaik taraf sebagai sebuah deretan gerai yang lebih selesa untuk aktiviti berniaga.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|