PPM gagalkan cubaan seludup minyak masak

PPM gagalkan cubaan seludup minyak masak

Tawau: Cubaan menyeludup keluar 240 botol minyak masak ke negara jiran berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi Op Gelora yang dijalankan di perairan Log Pond, di sini, hari ini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintenden Ridzauddin Selamat berkata, operasi dijalankan selepas pasukannya berjaya mengesan sebuah bot jongkong dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.

Minyak masak yang cuba diseludup keluar ke negara jiran.

Katanya, pasukan operasi terus bertindak menahan bot yang dijuragani seorang lelaki tempatan terbabit untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemukan sebanyak 60 kotak yang mengandungi 240 botol minyak masak dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Anggota PPM gagalkan cubaan seludup minyak ke negara jiran.

“Juragan bot berkenaan turut gagal menunjukkan surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa minyak masak berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ridzauddin berkata, suspek dan barang rampasan termasuk bot jongkong berkenaan terus ditahan dan diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan selanjutnya.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM48,400 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, pasukan PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat menerusi aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197.

“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat sentiasa terjaga dan terkawal,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|