RM285 juta untuk program agro makanan di Sabah, Sarawak tahun ini

RM285 juta untuk program agro makanan di Sabah, Sarawak tahun ini

Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyalurkan RM285 juta untuk melaksanakan program agro makanan di Sabah dan Sarawak pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM135 juta disalurkan ke negeri ini, manakala RM150 juta lagi ke Sarawak.

Beliau berkata, peruntujan itu diagihkan kepada semua agensi dan jabatan fi bawah MAFI bagi melaksanakan kursus, latihan dan aktiviti yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor agro makanan.

“Penyaluran dana ini adalah untuk sama-sama menyumbang kepada pertumbuhan sektor agro makanan di negara ini, khususnya di Sabah,” katanya selepas lawatan kerja ke Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Sabah, di sini, hari ini.

Sempena lawatan itu, Ronald turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara MARDI dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ronald menyaksikan MoU di antara UMS dan MARDI berkaitan kerjasama R&D.

Melalui MoU itu, MARDI dan UMS akan memantapkan aspek sains fundemental dan aplikasi dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan teknologi bermutu dan berorientasikan industri.

Sementara itu, Ronald berkata, sehingga kini MARDI Sabah berjaya melatih lebih 12,000 anak muda dan usahawan tempatan menerusi latihan dan kursus jangka pendek yang ditawarkan sejak ia mula beroperasi di negeri ini.

Katanya, MARDI juga berjaya memberi khidmat nasihat teknikal dan bimbingan technopreneur kepada 50 usahawan pertanian dan asas tani setahun.

Pada majlis sama, Ronald turut menyerahkan Geran Rezeki Tani kepada dua pengusaha yang masing-masing berjumlah RM9,000.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|