Kota Kinabalu: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) bersedia untuk menjadi rakan strategik Kumpulan Wang Simpanan (KWSP) dalam program I-Saraan atau caruman sukarela di negeri ini.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata, kementeriannya menyambut baik cadangan yang diusulkan oleh KWSP Sabah untuk menjadi salah satu rakan strategik mereka.
“Kementerian saya amat mengalu-alukan usaha ini memandangkan ia amat bermanfaat khususnya untuk para atlet sukan dan golongan belia di negeri ini.
“Kita melihat kolaborasi ini juga merupakan satu peluang untuk kita ketengahkan I-Saraan kepada atlet di negeri ini memandangkan ada dalam kalangan mereka yang sudah bersara tidak mempunyai simpanan tetap bagi menjamin hidup di masa depan,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada pihak KWSP Sabah di pejabatnya di Wisma Muis, di sini, hari ini.
Tambah Ellron lagi, bagi merealisasikan hasrat itu, satu jawatan kuasa akan diwujudkan di peringkat kementerian dan mesyuarat akan diadakan dengan wakil persatuan sukan di negeri ini untuk membincangkan keperluan caruman itu kepada atlet.
Sementara itu, Ketua Cawangan KWSP Sabah, Sabarudin @ Sabree Hassan yang mengetuai kunjungan itu berkata, melalui I-Saraan, ahli akan menerima dividen tahunan sehingga 15 peratus setahun atau sehingga jumlah maksimum RM250 setahun.
“Pencarum turut diberikan insentif khas serta pelepasan cukai dan bantuan kematian. Selain itu, amaun caruman sukarela maksimum RM60,000 setahun dan ahli boleh mencarum pada bila-bila masa,” katanya.
I-Saraan ialah program di bawah KWSP yang dilancarkan pada 2018 sebagai satu inisiatif bagi membolehkan ahli yang bekerja sendiri tanpa pendapatan tetap serta pekerja sektor ekonomi gig boleh mencarum secara sukarela untuk persaraan mereka.
-Deasoka