Guna wang palsu, dua lelaki tempatan ditahan

Guna wang palsu, dua lelaki tempatan ditahan

Tawau: Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit dengan penggunaan wang palsu dalam dua serbuan berasingan di daerah ini, semalam.

Kedua-dua suspek berusia lingkungan 20 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di kawasan stesen minyak Batu 8, Jalan Apas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan awal, suspek menggunakan wang kertas palsu bernilai RM100 di sebuah premis perniagaan barangan runcit bagi membuat pembayaran barangan yang dibeli.

Katanya, tujuan suspek adalah bagi mendapatkan baki wang tulen.

“Susulan penahanan kedua-dua suspek, polis merampas sebuah kereta dan telefon bimbit serta sekeping not kertas RM100.

“Kedua-dua suspek dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar ambil tahu perbezaan wang palsu dan wang tulen kerana terdapat 10 ciri keselamatan pada wang tulen yang boleh dikesan oleh orang awam.

“Antaranya cetakan timbul, potret tanda bayang, tanda pandang telus pada angka 100, benang keselamatan kanta makro, petak kilat berwarna dan benang serat keselamatan.

“Info ini sedikit sebanyak dapat menyedarkan masyarakat supaya tidak menjadi mangsa dalam penipuan wang palsu,” katanya.

Sementara itu, Jasmin berkata, berdasarkan kepada aduan awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau mempergiatkan pemantauam penggunaan wang palsu di sekitar bandar ini.

Katanya, penjenayah yang menggunakan wang palsu dianggap licik kerana mereka bijak mencari peluang bagi mengelakkan kegiatan disedari peniaga atau pekerja kedai.

“Antara modus operandi yang dikesan adalah mengunjungi premis yang mempunyai ramai pelanggan memandangkan ketika itu juruwang sibuk menyebabkan mereka terlepas pandang untuk memeriksa wang palsu yang diberikan pelanggan.

“Taktik yang mereka guna adalah membayar barangan menggunakan wang kertas tulen diselitkan bersama wang palsu. Sekiranya juruwang tidak berhati-hati, mereka akan menjadi mangsa,” jelasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|