Kota Kinabalu: Bekalan makanan mencukupi menjelang perayaan nanti, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Beliau berkata, hasil perbincangan dan libat urus dengan pemain industri pengeluar makanan ketika ini bekalan makanan adalah stabil.
“Soal harga isu lain, bekalan stabil tetapi kita turut pantau.
“Minggu ini sudah dua kali saya mengadakan libat urus dengan pemain industri iaitu pihak pemborong untuk memastikan bekalan makanan kita stabil terutama menjelang perayaan yang akan datang,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya situasi bekalan makanan sama ada mencukupi menjelang perayaan tidak lama lagi.
Sementara itu, ketika menyempurnakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah (MAFS) serta Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Ronald berkata, MoU itu adalah untuk membangunkan industri nanas di negeri ini.
“Melalui LPNM, ini adalah satu kerjasama baharu dengan MAFS. Kita tahu industri nanas sebelum ini rancak dijalankan di Semenanjung tetapi pertama kali kita membuat persefahaman untuk membangunkan industri nanas di Sabah.
“Sebagai permulaan, LPNM akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk memulakan pembangunan industri nanas di Sabah,” katanya.
Beliau berharap langkah pertama itu berjaya untuk melihat perusahaan penanaman nanas bertapak di Sabah.
“Lokasi pembangunan akan ditentukan MAFS dengan MAFI, jadi ada satu jawatan kuasa dibentuk bersama untuk memantau tetapi RM1 juta merupakan satu dana permulaan dan kita harap agar bentuk kerjasama lebih erat akan dapat diwujudkan selepas kerjasama awal ini,” katanya.
Turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh.
-Deasoka