PPM gagalkan kegiatan penyeludupan diesel, bom ikan

PPM gagalkan kegiatan penyeludupan diesel, bom ikan

Kudat: Operasi rondaan dan pemantauan berterusan Pasukan Polis Marin (PPM) sekali lagi berhasil apabila berjaya mematahkan kegiatan bom ikan dan penyeludupan minyak diesel di perairan Pulau Sibogoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, semua barangan berkenaan dikesan dibawa oleh seorang lelaki menggunakan sebuah bot pam.

Peralatan disyaki bahan letupan yang digunakan bagi kegiatan mengebom ikan dirampas.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Cyrill Douglas berkata, ketika rondaan dan pemantauan di kawasan laut berkenaan, pihaknya mengesan sebuah pam bot yang mencurigakan.

Bagaimanapun katanya, suspek yang menyedari kehadiran pihak berkuasa terus bertindak melarikan diri ke kawasan cetek sebelum menghilangkan diri dan gagal dikesan.

“Ketika dikejar, suspek dilihat membuang satu objek ke dalam laut dan pemeriksaan lanjut menemukan peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti mengebom ikan.

“Dalam masa yang sama pasukan operasi juga berjaya merampas puluhan tong berisi minyak diesel yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Cyrill berkata, nilai rampasan yang berjaya dilakukan dianggarkan berjumlah RM19,450 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, semua barang rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sehubungan itu, Cyrill berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menerusi aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|