Penunggang maut terperosok bawah treler selepas langgar lopak air

Penunggang maut terperosok bawah treler selepas langgar lopak air

Papar: Lopak air bertakung di atas jalan raya dipercayai menjadi punca kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal dan sebuah treler dalam kejadian di kilometer 27, Jalan Papar-Kota Kinabalu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, mangsa lelaki berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan serius akibat terperosok di bawah treler berkenaan.

Pasukan bomba sedang menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari bawah lori berkenaan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis SM Sport bergerak dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar dalam keadaan cuaca hujan lebat.

Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, mangsa yang sedang melalui jalan selekoh dipercayai terlanggar lopak air bertakung di atas jalan dan menyebabkannya terbabas.

“Mangsa terbabas sehingga memasuki lorong bertentangan dan seterusnya merempuh badan lori treler yang membawa kontena di laluan bertentangan.

“Akibat daripada perlanggaran itu, mangsa terus terperosok di bawah lori treler berkenaan,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Batholomew berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pembantu Pegawai Perubatan, Klinik Kesihatan Kinarut yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.21 malam.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang penunggang motosikal tersepit di bahagian bawah lori treler dan operasi mengeluarkan mangsa segera dijalankan pasukan bomba.

“Sebaik disahkan meninggal dunia, mayat mangsa terus diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 11 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|