Kilang perabot, rumah pekerja musnah terbakar

Kilang perabot, rumah pekerja musnah terbakar

Keningau: Sebuah kilang perabot di Jalan Keningau – Apin Apin, di sini, musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, satu blok rumah pekerja yang mempunyai enam pintu turut hangus terbakar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.08 tengah malam.

Katanya, seramai 16 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati api sedang marak dan tindakan pasukan bomba membuat operasi pemadaman api menggunakan sumber air jentera dan pili bomba berhampiran.

“Operasi terkawal jam 12.59 tengah malam dan kebakaran membabitkan kilang terbakar 90 peratus dan satu blok rumah pekerja mempunyai enam pintu terbakar sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.28 pagi tadi.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan punca kebakaran kilang itu masih dalam siasatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|