Kota Kinabalu: Pakatan Harapan (PH) mendesak supaya tarikh baharu persidangan khas Parlimen untuk membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti ditetapkan segera.
Menerusi kenyataan bersama PH hari ini, gabungan pembangkang itu meminta kerajaan mengumumkan tarikh baharu itu pada persidangan khas Parlimen, Isnin ini.
Kenyataan itu menyebut, perkara itu selaras dengan syarat utama ditetapkan sebelum ini, iaitu draf RUU Anti Lompat Parti perlu disegerakan seperti ditegaskan Jawatankuasa Pemandu MoU yang bermesyuarat semalam.
Jelas kenyataan itu lagi, Ketua Pembangkang juga sudah menyampaikan pendirian PH itu kepada Perdana Menteri, semalam.
“Oleh itu, kami menggesa Perdana Menteri untuk menyatakan komitmen bahawa RUU Anti Lompat Parti akan dibentang untuk diluluskan di Parlimen dalam masa terdekat, manakala tarikh Sidang Khas kedua ini perlu ditetapkan dan diumum di Parlimen pada 11 April.
“Kami turut menggesa agar menteri yang bertanggungjawab membentang Pindaan Perlembagaan pada 11 April turut menyatakan dengan jelas di Parlimen apakah prinsip-prinsip asas RUU Anti Lompat Parti yang bakal dibentang dan diluluskan dalam Sidang Khas kedua nanti,” kata kenyataan itu.
RUU Anti Lompat Parti sepatutnya dibentangkan pada Persidangan Khas Parlimen, Isnin ini tetapi ditangguhkan dan digantikan dengan pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan.
PH dalam kenyataan yang sama menyebut, pihaknya memahami keperluan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan itu bagi memberi punca kuasa untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti.
Jelasnya, PH juga akan menyokong Pindaan Perlembagaan pada Sidang Khas Parlimen Isnin ini.
“PH percaya dengan meluluskan Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti, kepercayaan rakyat terhadap proses pilihanraya dan demokrasi berparlimen akan dapat mula dipulihkan,” katanya.
Perkara itu, kata kenyataan itu selaras dengan pendirian tegas yang disuarakan Majlis Presiden PH mengenai langkah meluluskan RUU Anti Lompat Parti sebagai antara syarat utama dalam Perjanjian Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) di antara PH dan kerajaan.
Kenyataan itu menyebut PH tidak akan berkompromi dalam perkara berkenaan.
-Deasoka