Jual air tebu jana pendapatan lumayan

Jual air tebu jana pendapatan lumayan

Membakut: Dengan hanya menjual air tebu, seorang peniaga mampu menjana pendapatan yang lumayan hingga boleh mencecah ribuan ringgit sepanjang sebulan berniaga di bazar Ramadan, di sini.

Abdul Rashid Ismail, 44, berkata, itu adalah jumlah pendapatan secara purata yang diperoleh setiap tahun sepanjang berniaga air tebu selama 10 tahun ini.

Abdul Rashid memproses batang tebu untuk mengambil airnya sebelum dijual di Bazar Ramadan Membakut.

“Walaupun ketika pandemik tidak dapat berniaga di bazar tetapi kami tetap menerima tempahan untuk membekalkan air tebu kepada pelanggan.

“Jadi tahun ini kami kembali berniaga seperti biasa di bazar Ramadan dan setakat ini memang mendapat sambutan mengalakkan kerana air tebu memang menjadi kegemaran pengunjung bazar,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Membakut, di sini, baru-baru ini.

Abdul Rashid Ismail, 44

Bercerita lanjut, Abdul Rashid berkata, setiap hari dia akan menggunakan 400 hingga 500 batang tebu untuk diproses bagi mengambil airnya.

“Biasanya batang tebu kami dapat dari Papar dan akan diambil sehari sebelum dijual. Harganya dulu cuma 30 sen saja sekarang sudah mencecah RM1.

“Untuk air tebu pula kami jual dari RM3 hingga RM10 bagi satu botol mengikut saiz. Kelebihan air tebu saya pula ialah asli tanpa dicampur dengan gula atau bahan lain,” katanya.

Selain berniaga di bazar, Abdul Rashid memaklumkan bahawa dia juga berniaga pelbagai jenis air di tamu ketika bukan di bulan Ramadan.

“Pada hari biasa saya menjual pelbagai jenis air juga selain air tebu, jadi bila-bila masa orang ramai boleh mendapatkan air jualan saya pada hari biasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|