Kimanis: Seorang pemandu berdepan detik cemas apabila kenderaan Isuzu D Max miliknya tiba-tiba terbakar dalam kejadian di Jalan Kimanis-Keningau, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, kenderaan acuan empat roda berkenaan musnah 100 peratus selepas pemandu berjaya membawanya ke tepi jalan dan keluar menyelamatkan diri.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.07 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya dilokasi kejadian, kejadian kebakaran membabitkan kenderaan pacuan empat roda berkenaan benar-benar berlaku dan operasi pemadaman api segera dijalankan.
“Operasi pemadaman menggunakan dua alat pemadaman api jenis serbuk kering dan api akhirnya berjaya dikawal pada jam 12 tengah hari,” katanya dalam Kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya beberapa minit selepas itu.
Katanya, pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.54 tengah hari.
-Deasoka