Enam PATI ditahan ketika cuba kembali ke negara asal melalui ‘jalan tikus’

Enam PATI ditahan ketika cuba kembali ke negara asal melalui ‘jalan tikus’

Lahad Datu: Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina di simpang masuk Dent Heaven, Sahabat 22, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, semua PATI yang berusia lingkungan setahun hingga 30 tahun itu ditahan ketika cuba keluar dari negara ini.

Kenderaan yang digunakan untuk menghantar PATI terbabit.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, anggota PGA dari Pos Dent Heaven menerusi tugas Op Taring membuat rondaan di kawasan Sahabat 22 Fajar Harapan.

Katanya, ketika membuat rondaan telah mengesan sebuah kenderaan Toyota Hilux warna hitam dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota kemudian menahan kenderaan berkenaan dan hasil pemeriksaan didapati pemandu kenderaan berusia 54 tahun warga tempatan yang ditahan membawa dua lelaki, seorang wanita dan tiga kanak-kanak yang tidak memiliki sebarang pas perjalanan yang sah.

“Semua mereka ini dari Lahad Datu dan ingin dihantar ke persisiran Pantai Dent Heavan tujuan balik ke Bunggao, Filipina menggunakan jalan tikus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, seorang daripada mereka turut mengaku membayar tambang sebanyak RM300 setiap seorang kepada pemandu terbabit.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55e Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|