Tuaran: Tujuh kenderaan bertembung menyebabkan empat individu cedera dalam kejadian kemalangan di Bulatan Telipok Ria, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.50 malam itu, kemalangan dikatakan berpunca daripada sebuah kereta Toyota Vios yang terbabas masuk ke laluan bertentangan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8 malam.
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati kemalangan melibatkan tujuh kenderaan jenis Toyota Vios, dua Proton Saga FLX, Dua Perodua Myvi dan Proton Iswara serta Perodua Viva.
“Terdapat empat mangsa terlibat yang mengalami kecederaan termasuk seorang patah tangan” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa terus diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.06 malam.
-Deasoka