Bot tunda membawa tiga kru disyaki karam

Bot tunda membawa tiga kru disyaki karam

Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah bot tunda yang hilang di kawasan 35 batu nautika barat laut, Pulau Mantanani, di sini, semalam.

Bot tunda Megah Jaya 2 itu yang disyaki karam dilaporkan turut membawa tiga kru warga tempatan iaitu Yee Lih Min, 22, Lim Chung Siong, 24, dan Wilson Paul Joseph, 31.

Datuk Mohd Rosli Abdullah

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, laporan kehilangan bot tunda berkenaan dibuat pemilik kapal selepas menyedari kehilangannya pada jam 9.30 pagi.

Katanya, operasi CARILAMAT terus diaktifkan dengan mengatur gerak KM Bistari ke lokasi bagi melakukan pemantauan dan pencarian awal.

“Operasi CARILAMAT pagi ini turut melibatkan agensi sahabat iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kawasan pencarian bot tunda Megah Jaya 2 ini terbahagi kepada tiga sektor dengan keluasan keseluruhan 176 batu nautika,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai petunjuk berkaitan kes ini juga diminta supaya disalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|