Rebat 25 peratus bayaran balik pinjaman pengajian Yayasan Sabah

Rebat 25 peratus bayaran balik pinjaman pengajian Yayasan Sabah

Kota Kinabalu: Yayasan Sabah menawarkan rebat khas 25 peratus kepada peminjam pengajiannya untuk melangsaikan baki pinjaman masing-masing.

Pengarahnya, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar, berkata tawaran itu bermula sejak 1 April lalu hingga 30 Jun depan sebagai insentif kepada peminjam untuk menyelesaikan pinjaman masing-masing.

Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar

Beliau berkata, rebat khas itu ditawarkan kepada semua peminjam tanpa mengira tempoh pembayaran balik yang dipendekkan.

“Sebelum ini rebat 25 peratus hanya diberikan kepada peminjam pengajian yang ingin memendekkan tempoh bayaran sekurang-kurangnya sebanyak 75 peratus daripada tempoh pembayaran balik yang ditetapkan.

“Namun, kali ini semua peminjam layak mendapatkan rebat 25 peratus tanpa mengira tempoh pembayaran balik berdasarkan syarat yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, peminjam yang mahu mendapatkan rebat berkenaan perlu menandatangani surat akuan penerimaan rebat sebelum menyelesaikan baki pinjaman masing-masing.

Katanya, Yayasan Sabah turut mempelbagaikan kemudahan pembayaran bagi memudahkan peminjam pengajiannya membuat bayaran balik, termasuk kaedah pembayaran secara dalam talian.

“Peminjam mempunyai pelbagai pilihan pembayaran digital seperti aplikasi Maybank2u untuk pelanggan Maybank selain kemudahan pemindahan wang menggunakan telegraf dan JomPAY untuk pelanggan bank lain.

“Sebagai alternatif, Yayasan Sabah juga menerima pembayaran yang dibuat melalui arahan tetap bank, draf bank dan cek.

“Selain itu, peminjam juga boleh mengunjungi kaunter pembayaran Yayasan Sabah di Aras 6, Menara Tun Mustapha, Teluk Likas di Kota Kinabalu atau pejabat zon Yayasan Sabah di seluruh negeri,” katanya.

Beliau menjelaskan kutipan pembayaran balik pinjaman pengajian yayasan itu penting bagi membolehkannya terus menyokong atau memberikan tajaan pendidikan kepada pelajar lain yang memerlukan kemudahan berkenaan untuk melanjutkan pelajaran.

Maklumat lanjut berhubung rebat khas itu boleh diperlolehi melalui http://www.yayasansabahgroup.org.my/ , melayari Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, menghubungi 088-326300 (samb – 1716, 1242 & 1246) atau emel kepada bayaranbalikpengajian@ysnet.org.my.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|