ADUN Sindumin sah kembali ke pangkuan UMNO

ADUN Sindumin sah kembali ke pangkuan UMNO

Papar: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob sah kembali ke pangkuan UMNO selepas menjadi wakil rakyat bebas selama kira-kira tujuh bulan sejak keluar daripada Parti Warisan (WARISAN) pada Oktober lalu.

Perkara itu disahkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin selepas sekali lagi ditanya mengenai kedudukan Dr Yusof pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin, di sini, hari ini.

Khamis lalu, Bung Moktar menyatakan kedudukan Dr Yusof akan diumumkan dalam satu atau dua hari selepas bekas Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri itu mengesahkan sudah mengisi borang untuk menyertai parti baharu namun enggan menjelaskan nama parti terbabit.

Namun, berdasarkan kehadiran Dr Yusof yang berbaju biru sedondon dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah pada rumah terbuka Aidilfitri BN Sabah pada Khamis lalu, selain jawapan Bung Moktar berhubung perkara itu jelas membayangkan halatuju politiknya bersama BN, khususnya UMNO.

Menjelaskan lebih lanjut, Bung Moktar berkata permohonan Dr Yusof untuk menyertai semula UMNO diterima pada bulan lalu dan beliau secara prinsip sudah diterima, hanya menunggu pengesahan rasmi.

“Secara tidak rasmi, beliau sudah diterima semula ke dalam UMNO, hanya menunggu kita bermesyuarat untuk menyokong kemasukan beliau,” katanya.

Katanya, kemasukan Dr Yusof ke dalam UMNO – BN adalah sebagai ahli biasa namun beliau mungkin dipertimbangkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Selain Dr Yusof, Bung Moktar berkata mungkin ada lagi wakil rakyat bebas yang akan menyertai UMNO selepas ini bagi memperkukuhkan lagi parti itu dan BN Sabah keseluruhannya.

Dr Yusof pernah menjadi pemimpin UMNO Sipitang termasuk memegang jawatan Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen Sipitang dari 1995 hingga 2008 sebelum diambil alih Datuk Sapawi Ahmad.

Beliau bagaimanapun menyertai perjuangan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melalui WARISAN dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 sebelum keluar WARISAN pada Oktober tahun lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|