Tujuh keluarga dipindahkan akibat banjir di Sipitang

Sipitang: Sebanyak tujuh keluarga membabitkan 19 orang dari empat kampung di daerah ini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan banjir yang melanda kawasan berkenaan, sejak malam tadi.

Semua mereka dipindahkan ke PPS Dewan Mesapol oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang bermula jam 9.50 malam hingga 6 pagi.

Pasukan bomba dan polis memindahkan penduduk yang terjejas banjir di Kampung Ranau-Ranau, Sipitang. Pix Ihsan Bomba 

Antara kampung yang terjejas banjir iaitu Kampung Kaban, Kampung Pantai, Tanjung Nipis, dan Kampung Ranau-Ranau.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi memindahkan penduduk yang terjejas banjir selepas menerima panggilan pada jam 9.50 malam tadi di Kampung Kaban.

Katanya, sepasukan bomba BBP Sipitang dikerah ke lokasi bagi melakukan operasi memindahkan membabitkan dua mangsa ke PPS Dewan Mesapol.

“Seterusnya operasi memindahkan penduduk dilakukan di Kampung Pantai iaitu seramai lapan orang membabitkan tiga keluarga dipindahkan ke PPS.

“Manakala operasi memindahkan penduduk terjejas banjir terus dijalankan di Tanjung Nipis dan Kampung Ranau-Ranau membabitkan sembilan penduduk dipindahkan ke PPS Dewan Mesapol,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi ditamatkan kira-kira jam 6 pagi tadi.

“Setakat jam 7.30 pagi tadi keadaan banjir beransur surut dan pasukan bomba akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan yang dinaiki air,” katanya.

Operasi memindahkan penduduk kampung yang terjejas banjir turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|