Putu ‘inovasi’ berintikan bilis dan kurita semakin popular

Kota Kinabalu: Makanan tradisi masyarakat Bajau Semporna, putu, kini diubah suai bagi menarik citarasa pengguna selain disasar untuk bersaing dalam pasaran semasa.

Itu antara usaha Muhammad Shah Abd Salam, 37, bagi memastikan makanan turun temurun itu tidak hilang ditelan zaman.

Muhammad Shah memperkenalkan putu berinti bilis dan kurita pada program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC)

Muhammad Shah berkata, kebiasaannya putu di makan secara berasingan bersama ikan bakar dan dicelup dengan sambal lada.

Namun, katanya kali ini, makanan tradisional berkenaan sudah siap sedia diletakkan inti bilis ataupun kurita untuk menarik perhatian ramai.

“Sekarang ini, makanan putu yang baharu ini sudah mendapat sambutan amat menggalakkan.

“Malah ramai juga usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) yang cuba memperbaharui makanan tradisional masing-masing.

“Makanan putu ini kebiasaannya lebih digemari orang tua dan disebabkan itu, kita melakukan penambahbaikan agar diminati orang muda dan tidak hilang ditelan zaman,” katanya ketika ditemui pada program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Program yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu berlangsung sehingga esok.

Muhammad Shah berkata, beliau pernah menerima tempahan dari Semenanjung tetapi tidak dapat membuat penghantaran.

Katanya, ia disebabkam produk makanan itu perlu dimakan ketika panas dan tempoh ketahanannya juga tidak lama.

“Oleh itu, saya lebih menumpukan kepada permintaan di negeri ini untuk penghantaran secara ‘cash on delivery’ (COD).

“Alhamdullilah, sehingga kini sambutan amat menggalakkan dan permintaan juga masih tinggi sehingga mencecah 50 tempahan setiap hari,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|