Taman-Taman Sabah kaji semula yuran masuk

Kudat: Yuran masuk ke taman-taman di bawah Taman-Taman Sabah (TTS) bakal dinaikkan selepas kira-kira 20 tahun kadar yuran sedia ada tidak pernah disemak semula.

Pengarah TTS, Dr Maklarin Lakim berkata, kenaikan yuran itu perlu dilakukan berikutan kos penyelengaraan taman di bawah jagaan TTS semakin meningkat ketika ini.

Maklarin pada sidang akhbar selepas menghadiri Hari Pewartaan Taman Tun Mustapha, di Kudat.

“Memang ada usul, sebab dari dulu sejak 20 tahun lalu kita tidak pernah menyemak harga ini tetapi kos penyelenggaraan kita dari hari ke hari meningkat.

“Kita sudah tahu bahawa kutipan itu tidak lagi mampu menampung kos pemuliharaan dan mahal, jadi oleh itu terdapat keperluan untuk meningkatkan kutipan hasil tanpa menjejaskan alam sekitar,” katanya pada sidang akhbar sempena Hari Pewartaan Taman Tun Mustapha, di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian kepada media selepas diminta mengulas jika ada cadangan untuk menyelaraskan semula yuran kemasukan ke lokasi tumpuan pengunjung di bawah jagaan TTS.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jualan tiket kemasukan ke lokasi di bawah TTS digunakan untuk menampung semula kos penjagaan dan penyelenggaran produk TTS.

“Contohnya, kita jual tiket masuk itu dengan kenaikan harganya selaras dengan harga barang makanan supaya kutipan kita itu mampu menampung kos pemuliharaan dan penjagaan taman yang mana sekarang ini tidak seimbang dan kita banyak bersifat subsidi kerajaan negeri untuk menampung kos berkenaan.

“Jadi perkara ini akan diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa TTS tidak pernah menyemak secara menyeluruh mengenai harga tiket bagi produk di bawah taman berkenaan.

“Kita tidak pernah semak secara menyeluruh, kadang-kadang kita semak kadar sewa tetapi ada juga kita terlepas pandang yang sepatutnya kita kenakan sewa.

“Jadi tidak wajar sebab bagi orang luar, apa-apa yang kita ada di Sabah ini sesuatu yang hebat, unik sekali tetapi kadang kala kita terlepas pandang,” katanya.

Maklarin memaklumkan TTS mempunyai sembilan taman iaitu enam taman marin dan tiga lagi taman di daratan.

“Dalam taman-taman itu kita ada lokaliti pintu-pintu masuk yang kita caj dan terdapat 24 pintu masuk iaitu zon-zon rekreasi yang kita cipta untuk tujuan boleh dinikmati dengan pelancong tempatan dan asing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|