41 rumah diberikan notis, lima pondohan dirobohkan

Kudat: Sebanyak 41 rumah diberikan notis manakala lima lagi pondohan dirobohkan dalam operasi Op Gasak di perairan Si Bogo, Pulau Bangkawan, di sini, 18 Mei lalu.

Semua notis berkenaan dikeluarkan oleh Taman Taman Sabah (TTS) untuk mengarahkan penghuni berpindah dan merobohkan struktur yang dibina.

Antara pondohan kosong dirobohkan dalam Op Gasak Laut di perairan Si Bogo, Pulau Bangkawan, Kudat.

Komander Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, beberapa struktur pondok berkenaan dipercayai menjadi lokasi persinggahan penjenayah rentas sempadan di perairan.

Katanya, hasil tinjauan menerusi aset-aset udara dan pemeriksaan lapangan mendapati, pondohan berkenaan semakin bertambah sejak akhir-akhir ini.

Notis dikeluarkan TTS untuk mengarahkan penghuni berpindah.

“Hasil maklumat perisikan, pondohan haram berkenaan berpotensi untuk menjadi ‘staging point’ elemen jenayah membabitkan jenayah penculikan, rompakan dan penyeludupan di perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

“Operasi Op Gasak Laut ini diadakan bertujuan untuk mengambil tindakan terhadap pondok-pondok haram yang didirikan daripada terus berleluasa selain dieksploitasikan penjenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pihak berkuasa akan menguatkuasakan perundangan dengan mengeluarkan notis mengikut peruntukan Seksyen 48(1)(j) Enakmen Taman Taman Sabah 1984 pindaan 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, Hamzah berkata, pihaknya bersiap sedia untuk menggempur pondohan, penempatan dan bagang haram di sepanjang pantai timur negeri ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan pembinaan struktur atau bagang haram juga diminta menyalurkan kepada Pusat Operasi ESSCOM untuk tindakan segera.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian 089-863181 atau menerusi aplikasi WhatsApp ditalian 011-63311072,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|