Kraftangan warisan keluarga jadi sumber pendapatan

Kota Kinabalu: Meneruskan hasil kraftangan yang diwarisi keluarga secara turun temurun sentiasa menjadi pegangan agar tidak pupus ditelan zaman.

Itulah aspirasi pemilik syarikat kraftangan Tinunturu Craft, Larina Majin, 35, antara peserta pameran program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Antara hasil kraftangan yang dijual di Jelajah AKM Sabah di SICC, Kota Kinabalu.

Larina berkata, dia mula mempelajari teknik menghasilkan pelbagai jenis kraftangan itu sejak berusia 12 tahun.

Katanya, ia disebabkan dia mahu membantu nenek dan ibunya yang menghasilkan kraftangan untuk dijual di pasar tamu kampung setiap hujung minggu.

“Saya mula aktif dalam menghasilkan kraftangan selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Semua kraftangan ini adalah menggunakan hasil hutan, rotan dan bambu. Untuk menghasilkannya, ia memerlukan beberapa proses termasuk pemilihan bahan asas seperti rotan atau bambu berkualiti,” katanya.

Menurutnya, penghasilan kraftangan pula mengikut kreativiti dengan menghasilkan produk seperti beg mini, topi dan turban dikait, kotak pasu bunga serta bakul.

Katanya, hasil jualan yang memberansangkan dari semasa ke semasa memberi inspirasi kepadanya untuk memasarkan produk ke pasaran lebih luas.

“Saya kini turut menghasilkan beberapa lagi produk seperti beg dan kotak anyaman supaya ia mempunyai lebih banyak potensi di pasaran.

“Saya bersyukur kerana permintaan terhadap hasil kraftangan ini semakin bertambah sejak beberapa tahun lalu menerusi pasaran secara dalam talian,” katanya.

Larina berkata, dia berharap industri kraftangan akan terus berkembang dan mahu mewariskan kemahiran menghasilkan kraftangan itu kepada anak-anak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|