Kerajaan negeri ambil serius kes pemalsuan pengisytiharan cukai jualan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengambil perhatian serius berhubung kes tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan penjawat awam negeri yang didakwa melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, berkata pihaknya juga akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung siasatan agensi itu.

“Saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan negeri untuk meneliti dan menambah baik segala sistem dan prosedur yang boleh membuka ruang dan peluang aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Semalam SPRM melaporkan satu lagi tangkapan dilakukan agensi itu berhubung siasatan kes melindungi pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah membabitkan seorang individu bergelar datuk.

Suspek berusia 66 tahun yang juga bekas penjawat awam itu ditahan di pejabat SPRM Sabah, kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pada 18 Mei lalu, seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan negeri dan seorang pesara kerajaan ditahan SPRM Sabah kerana dipercayai meminta serta menerima rasuah berjumlah kira-kira RM700,000 daripada sebuah syarikat kilang kelapa sawit.

Wang berkenaan dipercayai sebagai balasan kerana melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah yang dikemukakan setiap bulan kepada Kementerian Kewangan negeri.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy turut mengingatkan pengusaha kilang kelapa sawit di Sabah supaya tampil membantu siasatan kerana mengemukakan pengisytiharan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|