Mod kerja seperti sebelum pandemik

Kota Kinabalu: Aplikasikan mod kerja seperti zaman sebelum pandemik COVID-19 melanda berikutan negara sedang berada di fasa peralihan ke endemik.

Itu peringatan yang diberikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun kepada seluruh polis kontijen Sabah.

Menurutnya, wabak COVID-19 yang melanda negara menyebabkan semua pihak terpaksa menyesuaikan diri dengan norma kerja baharu.

Katanya, ia termasuk bekerja dari rumah sebelum keadaan perlahan-lahan diubah kembali seperti sedia kala.

“Sebahagian daripada kita sudah membiasakan diri untuk bekerja dengan cara yang berbeza semasa pandemik.

“Tetapi saya harap kita semua dapat menetapkan semula minda dan mod kerja seperti penugasan sebelum ini dan tidak mengeluh apabila diberi tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.

Jauteh berkata, beliau memahami keadaan pasukannya yang terpaksa berkorban masa dan mempertaruhkan nyawa serta keselamatan semasa wabak itu melanda negara.

Katanya, cabaran itu bagaimanapun berjaya ditangani dan pihak polis tetap gagah menjalankan tugas untuk terus berkhidmat kepada negara.

“Saya berharap dedikasi dalam penugasan akan berterusan dan pada masa sama saya juga mengingatkan kepada semua anggota serta pegawai agar lebih berhemah dalam perbelanjaan.

“Ia memandangkan dunia dijangka menghadapi krisis dan peningkatan harga bekalan makanan disebabkan perang berterusan antara Rusia dan Ukraine.

“Memandangkan semua pihak teruja untuk berbelanja selepas kebenaran meraikan Hari Raya dan perayaan lain, kita juga harus ingat bahawa keadaan global semasa bukanlah yang terbaik dan ada cabaran baharu yang menanti,” katanya.

Jauteh turut mengingatkan pasukan polis supaya sentiasa mengambil langkah pencegahan dalam membendung penularan wabak COVID-19 terutama dalam penugasan sehari-hari.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|