Tiada ancaman keselamatan di Sabah, selepas pilihan raya Filipina

Kota Kinabalu: Tiada sebarang insiden yang boleh menjejaskan tahap keselamatan di perairan Sabah, selepas berakhirnya pilihan raya untuk memilih presiden baharu Filipina baru-baru ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, ini disebabkan pasukan keselamatan sentiasa dalam keadaan siap siaga dan waspada sepanjang proses pilihan raya di negara jiran berlangsung.

Jauteh menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohd Yusuh pada Majlis Perhimpunan Bulanan IPK Sabah, di Dataran Kawad, IPK Sabah, hari ini.

Katanya, semuanya lancar dan tiada insiden-insiden yang boleh menjejaskan keselamatan di sempadan negeri dan semuanya berjalan dengan baik dan terkawal.

“Proses pilihan raya di negara jiran sudah berakhir dan keselamatan di Sabah berjalan lancar tanpa ada sebarang insiden yang menimbulkan keresahan kepada penduduk di negeri ini.

“Pasukan keselamatan negara juga sentiasa bersiap siaga bagi mengekang sebarang kegiatan jenayah yang boleh menganggu gugat kedaulatan dan keselamatan negeri ini sepanjang proses pilihan raya berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) di Dataran Kawad IPK, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata, tahap keseluruhan keselamatan di Sabah dalam keadaan terkawal dan baik tanpa wujudnya masalah sama ada di darat dan laut.

“Kawalan pasukan keselamatan Sabah sentiasa ada di lapangan sepenuhnya termasuk di kawasan sempadan perairan Sabah yang meliputi keluasan lebih 1,000 kilometer.

“Walaupun mungkin ada berlakunya sedikit elemen penyeludupan tetapi secara keseluruhan keselamatan Sabah adalah terkawal dan terhindar dari kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta kepada semua penduduk maritim supaya memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyalurkan sebarang kegiatan jenayah di kawasan masing-masing seiring slogan PDRM ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

“Laporkan apa sahaja kejadian yang menimbulkan syak wasangka serta kegiatan tidak normal di kawasan anda kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan segera dapat dilaksanakan.

“Kita juga berterima kasih dan menghargai kerjasama serta maklumat yang disalurkan oleh masyarakat selama ini dan saya harapkan kerjasama ini akan berterusan,” katanya.

Sementara itu, dalam Majlis Serah Terima Tugas KJPJKK, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusuh Mat Tais menyerahkan jawatan berkenaan kepada timbalannya Asisten Komisioner Abdul Rahman Kassim sebagai pemangku selepas Mohd Yusuh bersara wajib dari penugasan PDRM.

Mohd Yusuh berkhidmat di dalam PDRM selama 36 tahun sejak memulakan tugas pada 2 Februari 1986 dan mencatatkan penugasan di enam jabatan dalam PDRM termasuk Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Pengurusan sebagai Timbalan Ketua Polis Kulim, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam serta JPJKK.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|