Individu bergelar Datuk ditahan bantu siasatan pemalsuan cukai

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi individu bergelar Datuk bagi membantu siasatan berkaitan tindakan melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada Kementerian Kewangan Sabah (MOF).

Suspek berusia 66 tahun yang juga bekas penjawat awam ditahan di pejabat SPRM Sabah, kira-kira jam 4 petang tadi ketika hadir memberi keterangan.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Permohonan reman terhadap suspek dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan pengusaha kilang kelapa sawit di seluruh negeri ini supaya tampil untuk membantu siasatan kerana mengemukakan pengisytiharan palsu adalah kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 18 Mei lalu, seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan negeri dan seorang pesara kerajaan ditahan SPRM Sabah kerana dipercayai meminta serta menerima rasuah berjumlah kira-kira RM700,000 daripada sebuah syarikat kilang sawit sebagai balasan untuk melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada MOF.

Mahkamah membenarkan reman selama tujuh hari terhadap kedua-dua individu berkenaan bermula 19 Mei hingga 25 Mei 2022.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|