Pemeriksaan ternakan diperketatkan elak penularan penyakit FMD – Jeffrey Kitingan

Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri mengetatkan pemeriksaan perubatan terhadap semua haiwan ternakan sebelum dihantar dari satu daerah ke daerah lain berkuatkuasa serta-merta.

Menterinya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata langkah itu antara usaha bagi mencegah penularan penyakit kaki dan mulut (FMD) di negeri ini berikutan laporan mengenai ancaman penyakit itu terhadap haiwan ternakan di negara jiran, Kalimantan, Indonesia.

Statistik jangkitan FMD dilaporkan di Kalimantan Barat, Indonesia.

“Kementerian mengambil langkah segera dengan mewajibkan semua pejabat veterinar di seluruh Sabah menjalankan pemeriksaan perubatan yang ketat terhadap semua jenis haiwan ternakan yang dihantar dari satu daerah ke daerah lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kementerian memgambil apa saja langkah yang perlu bagi mengelak penularan penyakit itu di Sabah dalam usaha mengekalkan status negeri ini sebagai kawasan yang bebas daripada penyakit FMD.

Beliau menjelaskan, Sabah diberikan status bebas FMD yang diiktiraf di peringkat antaravangsa oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) sejak 2005.

“FMD ialah penyakit haiwan yang paling mudah berjangkit dan menjejaskan binatang jenis berkuku belah seperti lembu, kerbau, biri-biri, kambing dan babi.

“Ketika ini Sabah sedang bergelut dengan penyakit demam babi Afrika (ASF). Jadi, penyakit FMD ini mesti dielak dengan apa cara sekalipun,” katanya.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata kementeriannya juga menetapkan semua pergerakan haiwan ternakan dari satu daerah ke daerah lain mesti didokumentasi menggunakan borang atau sijil yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) menjelaskab keadaan kesihatan haiwan terbabit.

Katanya, borang atau sijil berkenaan boleh diperolehi di mana-mana pejabat JPVS.

Jelasnya, kementerian juga menasihatkan penternak untuk mengamalkan bio-keselamatan yang ketat di semua ladang haiwan ternakan seperti memasang penyembur, mengkuarantin pekerja asing terutama dari Indonesia sebelum dibenarkan kembali bekerja, selain melarang pengunjung luar memasuki ladang.

“Pada masa ini, kita juga minta supaya tiada haiwan ternakan tambahan atau produk daging yang dijangkiti FMD dibawa masuk dari negara jiran,” katanya.

Sementara itu Pengarah JPVS, Dr Normah Yusop menasihatkan penternak supaya sentiasa memerhatikan simptom FMD pada haiwan ternakan mereka.

Katanya, penyakit itu boleh dikenal pasti berdasarkan demam yang tinggi selain lepuh dalam mulut dan kaki.

“Jika ada tanda-tanda ini pada haiwan ternakan, laporkan segera kepada JPVS. Kita perlu membendung jangkitan ini kerana ia berpotensi menjejaskan industri ternakan kita,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|