Sabah harap terima pemberian khas lebih besar

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menyatakan harapannya agar kadar pemberian khas persekutuan kepada Sabah terus ditingkatkan bagi membolehkan lebih banyak inisiatif berorientasikan rakyat dapat dilaksanakan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata beliau percaya pendekatan Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh menjadi formula yang terbaik untuk menangani isu-isu legasi di antara Sabah dan Persekutuan Malaysia itu.

Ismail Sabri menyempurnakan gimik pelancaran JAKM sambil disaksikan Hajiji.

Beliau berkata, Sabah menghargai sokongan dan kerjasama padu daripada kepemimpinan Persekutuan, selain berharap ia dapat dikekal dan ditingkatkan lagi.

“Kami yakin pendekatan Keluarga Malaysia dapat mengeratkan hubungan, menyimpul persefahaman dan meningkatkan kerjasama di semua peringkat termasuk di antara negeri dan persekutuan,” katanya pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) edisi Sabah yang dilancarkan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Ismail Sabri menyampaikan sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia kepada waris ahli keluarga mangsa Covid-19.

Hajiji berkata, banyak kemajuan mula dicapai termasuk yang terbaharu persefahaman di antara kedua-dua pihak pada 14 April lalu yang membawa kepada langkah pertama penyelesaian kajian semula kadar pemberian khas kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Hari ini saya ingin memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa tambahan hasil negeri yang diperolehi melalui kenaikan pemberian khas daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta itu kita kembalikan terus kepada rakyat,” katanya.

Sebelum ini, beliau mengumumkan wang pemberian khas itu akan digunakan untuk membina 1,500 Rumah Mesra SMJ di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

Rumah Mesra SMJ adalah inisiatif baharu Kerajaan Negeri di bawah Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berkonsepkan program Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di peringkat persekutuan.

“Hakikatnya, kerajaan negeri amat menghargai komitmen berterusan kerajaan persekutuan dalam menggerakkan dan menyusul siri rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Usaha ini telah dan sedang rancak berjalan melalui pelbagai platform dan diselaraskan di bawah mesyuarat Majlis Khas MA63,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji mencadangkan kerjasama negeri-persekutuan untuk menggabungkan program JAKM dan Halatuju SMJ di peringkat akar umbi di Sabah.

Beliau berkata, konsep inisiatif kerjasama itu adalah mini karnival yang akan diadakan di setiap bahagian atau daerah di negeri ini secara berperingkat.

“Program ini penting agar kita dapat menyemarakkan dan merakyatkan kedua-dua agenda kerajaan ini secara seiring dan meluas di peringkat akar umbi.

“Sebagaimana yang sering saya tegaskan, nilai dan makna sesebuah agenda pembangunan kerajaan seharusnya bukan hanya boleh didengar, tetapi harus dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat di semua peringkat,” katanya.

Jelasnya, jerayawara JAKM itu adalah contoh terbaik cara untuk memastikan rakyat memperolehi maklumat, akses dan seterusnya manfaat daripada pelbagai dasar, inisiatif dan program kerajaan.

“JAKM ini bertepatan dengan strategi kerajaan negeri sebagaimana yang dilaksanakan baru-baru ini melalui Showcase Setahun Halatuju SMJ yang juga berlangsung di SICC,” katanya.

Hajiji mengulangi bahawa pendekatan Keluarga Malaysia amat relevan dengan Sabah yang mana sikap saling menghormati dan mengiktiraf kepelbagaian serta perbezaan sebagai satu norma bagi rakyatnya.

Katanya, jerajaan negeri juga mengiktiraf pendekatan Keluarga Malaysia dengan meletakkannya sebagai satu kerangka yang memayungi pelaksanaan agenda pembangunan negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|