Permintaan Sabah dibincangkan dengan baik – PM

Kota Kinabalu: Sebarang isu atau permintaan di negeri ini diharap dapat dibincangkan serta dipertimbangkan untuk diselesaikan dengan baik.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan Persekutuan sentiasa berperanan sebagai anggota keluarga dan amat positif dalam memenuhi segala perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terutama apa yang sepatutnya diperoleh oleh Keluarga Malaysia Sabah.

“Sehubungan itu, sebuah Jawatankuasa Peringkat Persekutuan telah dibentuk dan dipengerusikan oleh saya sendiri selaku Perdana Menteri dan turut disertai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, bagi membincangkan pelbagai perkara antaranya tuntutan Sabah menerusi MA63.

“Dengan semangat Keluarga Malaysia, kita berharap agar sebarang isu mahupun permintaan Sabah yang tertunggak dapat dibincang dan dipertimbangkan untuk diselesaikan sebaik-baiknya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Jelajah Aspirasi Jelajah Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapannya berkata, Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia menerapkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam konteks sokongan dari segi sebuah kasih sayang merentasi etnik dan agama akan diteruskan ke seluruh negara.

“Sejak dilantik menjadi Perdana Menteri pada bulan Ogos lalu, saya telah melawat Sabah sebanyak empat kali dan sememangnya negeri ini sangat dekat di hati saya.

“Saya bangga melihat kepelbagaian etnik di Sabah yang boleh duduk semeja tanpa mengira sentimen agama dan bangsa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|