Osusa toi asanang tomoimo miiso – Ismail Sabri

Kota Kinabalu: Osusa toi asanang tomoimo miiso, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam bahasa Kadazan mengenai aspirasi beliau terhadap Keluarga Malaysia.

Katanya, beliau bangga melihat kepelbagaian etnik di Sabah yang boleh duduk semeja tanpa mengira sentimen agama dan bangsa.

Beliau berkata, ia adalah gambaran semangat sebenar Keluarga Malaysia yang mahu ditekankan.

“Bak kata pepatah orang Kadazan, ‘Osusa Toi Asanang Tomoimo Miiso’ yang bermaksud susah atau senang, suka dan duka kita tetap bersama dan bersatu dalam satu Keluarga Malaysia. Inilah harapan besar saya,” katanya ketika melancarkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Sabah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Selain itu, beliau berkata sifat keterbukaan rakyat Sabah yang diwarisi sejak zaman berzaman juga terbukti dipegang teguh dalam memupuk keharmonian hidup masyarakat di negeri ini.

“Pelbagai perbezaan yang ada mewarnai kehidupan mereka sehingga mampu membentuk sebuah keluarga besar yang cekal mengharungi serba serbi liku abaran bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan Persekutuan sentiasa berperanan sebagai anggota keluarga amat positif dalam memenuhi segala perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sepatutnya diperoleh oleh rakyat Sabah.

“Sehubungan itu, sebuah Jawatankuasa Peringkat Persekutuan dibentuk dan dipengerusikan saya sendiri selaku Perdana Menteri dan turut disertai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, bagi membincangkan pelbagai perkara antaranya tuntutan Sabah menerusi MA63.

“Dengan semangat Keluarga Malaysia, kita berharap agar sebarang isu mahupun permintaan Sabah yang tertunggak dapat dibincang dan dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|