PUTATAN: Perayaan sambutan Kaamatan yang diraikan masyarakat KadazanDusun Murut Rungus (KDMR) dan rumpunnya wajar dijadikan simbolik kepada perpaduan di daerah Putatan dan Sabah secara amnya.
Ahli Parlimen Putatan; Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, seiring tema Kaamatan pada tahun ini, Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian, beliau berkata, ia dilihat amat signifikan kepada semua rakyat yang terkenal dengan semangat keukhuwahan dan menyemai harmoni dalam kehidupan seharian tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan fahaman.
“Oleh yang demikian, wajarlah perayaan seperti Kaamatan ini diangkat untuk menjadi wadah perpaduan di antara semua kaum yang ada di Putatan dan seterusnya di Sabah.
“Jagalah keharmonian yang telah diwariskan oleh generasi terdahulu, dan sudah tentu ia merupakan tanggungjawab kita bersama untuk mengekalkan perpaduan ini.
“Dengan sambutan Kaamatan, kini ia bukan sahaja diraikan oleh masyarakat KDMR sahaja bahkan bangsa-bangsa yang lain juga di Sabah yang mana ianya sudah menjadi simbol utama di negeri kita dan juga negara,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) berkata demikian dalam ucapan perasmian Pertandingan Akhir Unduk Ngadau Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan, dekat sini, pada Sabtu.
Turut hadir adalah Pengerusi LPPB merangkat ADUN Petagas; Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, Pengerusi Perkasa Trading Sdn Bhd merangkap ADUN Tg Keramat; Shah Alfie Yahya dan juga Pegawai Daerah Putatan; Pegawai Daerah Putatan; Masawi Salleh.
Seramai sepuluh peserta Unduk Ngadau bertanding di pentas Pertandingan Akhir Unduk Ngadau Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan bagi mewakili daerah ke KDCA pada kemuncak Kaamatan 31 Mei nanti.
