KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengingatkan rakan pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai ranjau politik dihadapi gabungan itu sejak mula-mula mengambil alih kerajaan pada 2020.Katanya, pada masa itu semua sedar aspirasi rakyat Sabah yang tidak mahu terus bergantung kepada percaturan orang lain untuk menentukan masa depan negeri ini.
Jelasnya, Sabah pada masa itu memerlukan satu kekuatan tempatan yang mampu bercakap dengan suara sendiri, membuat keputusan sendiri dan mempertahankan kepentingan rakyat Sabah dengan lebih berani dan bermaruah.
“Sebab itulah GRS ditubuhkan dan daripada perjuangan itulah, lahirnya Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sebagai tunjang utama untuk memastikan rumah politik Sabah ini terus kukuh, stabil dan dipimpin oleh perjuangan yang berpaksikan rakyat negeri ini,” katanya pada ucaptama Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.
Bagaimanapun, Pengerusi GRS itu berkata rakyat menyaksikan realiti parti politik negeri ini yang tidak pernah kekal dalam perjuangan bersama berikutan ada pemimpin berubah arah ketika menjelang pilihan raya.Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat menegaskan, peristiwa itu membawa pengajaran besar kepada GRS dan parti pimpinannya dalam mencorak perjuangan serta masa depan parti, terutama bagi mengekalkan kestabilan kerajaan negeri.
“Dahulu, ada yang paling lantang bercakap tentang Sabah mesti kuat seperti Sarawak, merekalah yang berkobar-kobar menyeru supaya parti-parti tempatan bersatu, bercakap tentang satu hati, tentang maruah politik Sabah dan perjuangan tempatan untuk rakyat Sabah.
“Tapi, apabila tiba musim ujian, pilihan raya semakin dekat, kuasa dan kedudukan mula menjadi pertimbangan, di situlah kita nampak warna sebenar perjuangan mereka.
Ada yang mahu keluar, ada yang tiba-tiba mahu membawa haluan solo, malah ada juga yang meninggalkan perjuangan hanya kerana jawatan yang diharapkan tidak menjadi miliknya. “Kita hormati keputusan mereka, kita tidak marah, tidak berdendam Tetapi rakyat boleh melihat sendiri; siapa yang benar-benar berjuang untuk Sabah? Setiap peristiwa itu mesti menjadi pengajaran besar kepada kita semua.
“Perjuangan sebenar diuji apabila kepentingan peribadi terpaksa diketepikan demi kestabilan dan kekuatan bersama. Kalau benar kita mahu Sabah kuat seperti Sarawak, maka kekuatan itu tidak boleh lahir daripada ego politik yang berpecah-pecah.
“Sebab itu, setiap kali ada yang memilih untuk pergi; Gagasan Rakyat tidak boleh menjadi lemah. Sebaliknya kita mesti menjadi lebih kuat, lebih tenang dalam menghadapi cabaran, lebih matang membuat keputusan, lebih teratur dalam perjuangan dan lebih bersatu mempertahankan rumah kita ini,” katanya.
Hajiji turut mengingatkan supaya pemimpin di negeri ini tidak terlalu sibuk berlumba menjadi siapa paling lokal, paling asli atau siapa paling hebat bersuara, kerana rakyat tidak hidup dengan retorik.Katanya, apa yang rakyat mahukan ialah pekerjaan, ekonomi yang bergerak, peluang untuk anak-anak mereka dan mahukan kerajaan yang stabil serta mampu menyelesaikan masalah.
“Itulah ukuran politik yang sebenar. Kalau kita terlupa perkara ini, mungkin kita menang di pentas ucapan sahaja tetapi kalah dalam keyakinan rakyat.
Hari ini saya bercakap bukan sahaja sebagai Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah tetapi saya juga bercakap sebagai Pengerusi GRS dan Ketua Menteri Sabah.
“Tanggungjawab ini amatlah besar, sebab itu keputusan parti tidak boleh dipandu oleh fikiran yang sempit atau pertimbangan jangka pendek. Ada waktunya, kita perlu menyusun semula kekuatan dan struktur perjuangan supaya rumah besar yang kita bina ini terus kukuh, stabil dan mampu diwariskan kepada generasi yang akan datang,” katanya.
Ketua Menteri berkata, rakyat mesti menilai pencapaian kerajaan dengan adil dan berasaskan realiti memandangkan Kerajaan GRS bukan kerajaan yang mewarisi keadaan mudah.
“Kita mengambil alih ketika ekonomi Sabah terkesan akibat pandemik, politik berada dalam keadaan tidak menentu dan banyak isu pembangunan telah lama tertangguh tetapi dalam keadaan yang mencabar itulah, kita memilih untuk bekerja, bukan mencari alasan.
“Kita susun semula keutamaan kerajaan, perkemaskan tadbir urus, kita fokus kepada kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan asas pembangunan jangka panjang negeri.
“Itulah disiplin Sabah Maju Jaya (SMJ) yang saya bawa. Kita tidak menjanjikan perubahan hanya di pentas ucapan. Kita mula membina perubahan itu melalui dasar, pelaksanaan dan hasil yang boleh dirasai rakyat,” katanya.
