Tujuh bot laju diusir keluar

Sandakan: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mengesan dan menahan tujuh bot laju yang cuba menceroboh masuk ke perairan daerah di kawasan laut Inner Bouy hingga ke Nunuyan, di sini, kelmarin.

Dalam operasi kira-kira jam 5 petang itu, semua bot berkenaan didapati dijuragani tujuh lelaki berusia 29 hingga 70 tahun.

Pasukan operasi mengiringi semua bot-bot berkenaan keluar dari perairan negara.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, semua bot berkenaan dikesan dalam keadaan yang mencurigakan bergerak dari arah perairan negara jiran.

Katanya, sebaik memasuki perairan negara, pasukan operssi terus bertindak mengejar mereka sebelum berjaya dipintas.

“Hasil pemeriksaan, semua lelaki terbabit mengaku berasal daripada Filipina dan masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah.

“Pasukan operasi seterusnya mengiringi semua bot-bot berkenaan keluar dari perairan negara dan diarahkan supaya tidak kembali semula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, usaha berkenaan dilakukan bagi mengekang penularan wabak penyakit Covid-19 selain memberi amaran pihak luar supaya tidak menjalankan aktiviti perikanan di Perairan Malaysia.

Sehubungan itu, Rusdin berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-2831197 atau berhubung ke Gerakan PPM Sandakan di talian 089-221453 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|