Lantik kontraktor berwibawa elak projek sekolah sakit berulang

Beaufort: Lantik kontraktor berwibawa elak projek sekolah sakit berulang, kata Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berharap, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melantik kontraktor yang berwibawa untuk melaksanakan kontrak pembinaan dan penyelenggaraan sekolah di seluruh negara.

“Saya berharap dengan keluarnya tender-tender ini dan dengan terlantiknya kontraktor-kontraktor itu, saya telah berpesan kepada kementerian supaya melantik kontraktor berwibawa, sebab kita tidak mahu seperti yang berlaku sebelum ini banyak projek sekolah sakit.

“KPM adalah kementerian paling tinggi projek sakit di seluruh negara kerana kita tiada teknikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) banyak membantu kita tetapi tanggungjawab JKR juga besar untuk membuat sekolah dan buat jalan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berbuka puasa dan solat sunat Tarawih di Masjid Kampung Mawao, Membakut, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung usaha untuk menaik taraf sekolah daif di seluruh negara ketika ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Kimanis turut meminta agensi pelaksana Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) membantu KPM supaya mempermudahkan proses berkenaan.

“Banyak kelewatan pelaksanaan projek itu kesan daripada hal-hal teknikal, urusan tanah lambat selesai. Pelaksana harus bertanggungjawab melantik kontraktor berwibawa dan agensi pelaksana harus melipat gandakan kerja-kerja mereka.

“Sebab fokus Perdana Menteri kita, kerajaan Keluarga Malaysia ingin melihat sekolah-sekolah daif harus diperjuangkan dan aspirasi kita, sekolah daif antara keutamaan dalam aspirasi Keluarga Malaysia dan aspirasi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12),” katanya.

Beliau sebelum itu turut memaklumkan bahawa sekolah daif yang berada pada skala enam dan tujuh menjadi fokus KPM.

“Skala enam perlu penyelenggaraan dan skala tujuh sudah ada arahan disyorkan untuk dirobohkan dan diganti dengan sekolah baharu.

“Ini memang sudah ada data-datanya cuma saya nyatakan beberapa minggu lalu sudah banyak tender dikeluarkan untuk gantian penuh, untuk penyelenggaraan malah semalam (Jumaat) juga ada tender dikeluarkan untuk beberapa sekolah di Telupid dan banyak daerah lain serta di kawasan Kimanis.

“Sekolah gantian penuh, kita ada Sekolah Kebangsaan (SK) Lumat ganti sekolah baharu dan SK Binsulok juga akan ditender sekolah baharu pada bulan Jun dan SK Kelatuan juga akan ditender sekolah baharu.

“Penyelenggaraan itu sentiasa berjalan kerana ia berdasarkan permohonan pentadbir sekolah dan PPD jika ada keperluan mendesak, kita akan angkat dan laksana, penyelenggaraan tanpa henti dan akan diteruskan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|