Lelaki ugut, serang polis trafik ditahan

Lelaki ugut, serang polis trafik ditahan

Kota Belud: Seorang lelaki ditahan selepas mengancam untuk membunuh serta cuba menyerang anggota polis dengan sebatang paip di kawasan pekan daerah ini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.55 pagi itu, lelaki berusia 22 tahun terbabit dikatakan berang selepas dikenakan saman oleh anggota polis terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, sebelum kejadian, suspek dilihat mengambil gambar anggota polis trafik yang sedang mengeluarkan saman atas kesalahan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran.

Bagaimanapun katanya, sebaik ditegur anggota polis Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud itu, suspek tiba-tiba bertukar menjadi berang.

“Suspek yang berang turut mengeluarkan kata-kata ancaman mahu membunuh anggota polis terbabit.

“Anggota polis lain yang turut berada di tempat kejadian cuba menenangkannya namun sebaliknya dia bertindak membuka bonet belakang kereta untuk mengambil sebatang paip besi dan cuba menyerang anggota polis bertugas,”
katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Shahrudin berkata, ketika penahanan dilakukan berlaku pergelutan kecil apabila suspek menendang kaki salah seorang anggota polis trafik.

Katanya, suspek yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan direman hari ini untuk membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|