Feri terkandas, 119 penumpang diselamatkan

Kudat: Seramai 119 penumpang feri yang terkandas di perairan Pulau Molleangin, di sini, diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.

Feri penumpang Labuan Express 7 berkenaan dikatakan sedang dalam perjalanan dari Jeti Feri Karakit, Pulau Banggi menuju ke Jeti Feri Kudat.

Pasukan Maritim Malaysia menjalankan operasi menyelamatkan mangsa feri terkandas di perairan Pulau Molleangin.

Bagaimanapun, feri berkenaan terkandas apabila dibawa arus di kawasan terumbu karang di perairan pulau berkenaan selepas mengalami kerosakan pada bahagian enjin.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, sebaik menerima maklumat, tiga bot ronda Maritim Malaysia dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, ia bagi memberikan bantuan segera dan pemantauan terhadap keselamatan penumpang.

“Turut terbabit dalam operasi membantu dan menyelamat pasukan Bomba Sukarela Pulau Banggi, Pasukan Polis Marin (PPM), sebuah bot Pantanunam Resort dan dua bot penduduk kampung.

“Semua 119 penumpang feri berkenaan akhirnya selamat dipindahkan ke feri penumpang bantuan yang disediakan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Chin Chau berkata, operasi berjaya dilakukan tanpa melibatkan sebarang kecederaan dan semua mangsa dihantar ke Jeti Feri Kudat.

Sehubungan itu, Chin Chau berkata, Maritim Malaysia ingin menasihatkan pengusaha feri dan pemilik bot supaya memastikan feri serta bot berada dalam keadaan baik.

“Pastikan setiap feri dan bot dibawah seliaan mereka diselenggara dengan baik serta mematuhi undang-undang dan peraturan negara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|