Stesen kereta api Sembulan akan dinaik taraf – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Stesen kereta api Sembulan, di sini, akan dinaik taraf bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada pengguna perkhidmatan kereta api yang dikendalikan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata, kemudahan stesen yang lebih baik termasuk dilengkapi ruang perniagaan dapat meningkatkan lagi imej perkhidmatan kereta api di negeri ini.

Bung Moktar bersama Mohd Jasmin dan Leonard mengaih pek berbuka puasa kepada penumpang kereta api di Stesen Sembulan.

Katanya, ia sejajar kepentingan kereta api sebagai kaedah pengangkutan alternatif yang menyediakan perjalanan lebih lancar kepada orang ramai, khususnya di sepanjang laluan perkhidmatannya dari ibu negeri hingga ke Tenom.

“Perjalanan dengan menggunakan kereta api adalah alternatif pengangkutan awam yang bukan sahaja digunakan saban hari oleh orang ramai malah kakitangan kerajaan yang bertugas di Kota Kinabalu.

Bung Moktar (kiri) menemui pengguna yang menunggu kereta api di stesen kereta api Sembulan.

“Ramai yang berulang alik ke Kinarut, Papar, Membakut, Beaufort dan kawasan berhampiran dengan menggunakan perkhidamatan kereta api, maka wajar bagi JKNS meningkatkan kemudahan dan perkhidmatannya,” katanya selepas mengagihkan pek berbuka puasa kepada penumpang kereta api di Stesen Sembulan, kelmarin.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya negeri (KKRS), Datuk Mohd Jasmin Julpin; Timbalan Setiausaha Tetap II KKRS, Hassan Mahali dan Pengarah JKNS Leonard Stephen Poyong.

Stesen Sembulan yang terletak bersebelahan bangunan Sekretariat adalah perhentian paling hujung kereta api di Kota Kinabalu.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata JKNS juga bercadang untuk menyediakan bas bagi kakitangan kerajaan dari pelbagai jabatan yang berdekatan untuk membawa mereka ke stesen kereta api Sembulan selepas waktu kerja.

Sementara itu, beliau berkata perkhidmatan kereta api di antara Beaufort ke Tenom Bung yang terhenti sebelum ini sudah mula beroperasi seperti sediakala bermula pada 27 April lalu.

Dalam perkembangan lain Ahli Parlimen Kinabatngan itu turut meminta orang ramai agar sentiasa menjaga aspek keselamatan diri terutamanya di jalan raya apabila memandu ketika balik ke kampung halaman masing-masing sepanjang musim perayaan.

“Selain itu, kita semua jangan leka terhadap ancaman virus Covid-19 dengan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standrad (SOP) yang ditetapkan agar kesihatan kita terjaga dan terkawal sepanjang musim Aidilfitri kali ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|