Dua kereta rosak dihempap pokok tumbang

Tuaran: Dua kereta rosak akibat dihempap pokok tumbang di kawasan parkir Taman Sri Rugading, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.55 tengah hari.

Katanya, seramai lima anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, didapati terdapat pokok tumbang menghempap kereta Toyota Avanza dan Perodua Kancil yang parkir di kawasan perumahan berkenaan hingga menyebabkan remuk dan rosak.

“Pokok tumbang akibat angin kencang dan hujan lebat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian mengalihkan pokok tumbang menggunakan peralatan khas.

“Tiada mangsa dilaporkan cedera dan pasukan bomba seterusnya membuat pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain.

“Operasi tamat sepenuhnya pada 2.40 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|