Bomba bawa turun tiga pendaki cedera

Ranau: Tiga pendaki Gunung Kinabalu yang mengalami kecederaan kekejangan otot dan terseliuh kaki terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) dalam kejadian di kilometer 3, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa membabitkan seorang wanita, 18 tahun dan dua lelaki berusia 19 dan 26 tahun yang dilaporkan sukar bergerak dan perlu dibantu untuk turun ke kaki gunung.

Mangsa yang berjaya dibawa turun ke Timpohon Gate kemudiannya dihantar ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.36 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan tujuh anggota dan pegawai termasuk MOSAR, Malim Gunung serta Renjer Taman Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, ketiga-tiga mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota PBB MOSAR bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa seterusnya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ menggunakan kaedah ‘piggyback carry’ dan pengusung Robinson Stretcher oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa kemudiannya dihantar pasukan EMRS ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.54 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|