Murid SK Nangkawangan akan dibekalkan jaket keselamatan

Papar: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyediakan jaket keselamatan kepada murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Nangkawangan yang akan dibekalkan bot untuk menyeberangi sungai tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, KPM tidak berkompromi dalam isu keselamatan membabitkan murid dan pelajar sekolah di negara ini.

“Kerajaan telah bersetuju untuk membekalkan bot gentian kaca berenjin lima kuasa kuda (hp) untuk mengangkut penduduk kampung termasuk murid sekolah.

“Kita tidak pasti berapa lama jambatan gantung yang akan dibina semula itu siap, jadi jalan perhubungan akan menggunakan bot.

“Untuk itu KPM mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menguruskan pembekalan jaket keselamatan. Kita akan membekalkan jaket keselamatan kepada murid dan pelajar di sekolah yang terlibat, semua guru dan kakitangan sekolah yang lain juga.

“Jadi demi keselamatan anak-anak, kita sentiasa mengambil berat isu keselamatan bukan saja di Nabawan tetapi di seluruh negara. Soal keselamatan anak-anak, pelajar tidak dapat dikompromi, ini adalah keutamaan KPM,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat di Kimanis, di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu memaklumkan sebanyak lima jambatan gantung putus akibat banjir di Nabawan menyebabkan sebanyak empat sekolah terjejas laluan perhubungan.

“Saya ingin nyatakan bahawa ada beberapa sekolah lain juga yang terlibat selain SK Nangkawangan di mana ada lima jambatan gantung yang terputus bagi menghubungkan empat sekolah lain.

“Di SK Nangkawangan terdapat seramai 26 murid, lapan guru dan seorang kakitangan; SK Binanon seramai 44 murid, 11 guru dan seorang kakitangan; SK Mamagon, 35 murid, lapan guru dan seorang kakitangan dan SK Pohon Batu terdapat 30 murid, sembilan guru dan seorang kakitangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau akan membuat semakan jika sekolah-sekolah lain memerlukan khidmat bot berkenaan dan seterusnya membekalkan jaket keselamatan.

“Kita akan bekalkan kepada SK Nangkawangan kerana yang pasti bot ini digunakan di sana tetapi saya akan semak sekiranya SK Binanon, SK Mamagon dan SK Pohon Batu memerlukan khidmat bot dan kita juga akan bekalkan jaket keselamatan kepada keempat-empat sekolah ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya akan memantau keadaan itu dari semasa ke semasa dan akan terus bekerjasama dengan agensi yang bertanggungjawab dalam isu berkenaan.

Pada Khamis lalu tular di media sosial murid sekolah di Nabawan terpaksa bergadai nyawa menaiki rakit dan zip line untuk ke sekolah berikutan jambatan gantung yang mereka gunakan terputus akibat banjir yang melanda kawasan terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|