Rakyat diajak beri tumpuan bangunkan negeri

Keningau: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengajak rakyat pelbagai kaum di Sabah untuk memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri ini tanpa mengira perbezaan latar belakang masing-masing.

Beliau berkata, perpaduan dan kerjasama antara satu sama lain sangat penting, selain tidak boleh diketepikan sebagai suatu perkara yang remeh.

Hajiji memalu gong pada pelancaran Pesta Kaamatan di Keningau.

“Di Sabah, rakyat kita berbilang kaum, agama dan kepercayaan tetapi dapat hidup bersama dalam keadaan harmoni dari satu generasi ke generasi yang lain.

“Perkahwinan campur menyaksikan sesebuah keluarga mempunyai pelbagai kaum dan kepercayaan sebagai satu keluarga besar dan kita dapat menerima serta menghormati antara satu sama lain.

“Setiap kali musim perayaan seperti pelancaran sambutan Kaamatan pada hari ini, kita semua datang merayakannya bersama,” katanya ketika melancarkan sambutan Tadau Kaamatan peringkat negeri di Pusat Kraftangan Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Penganjur Pesta Kaamatan 2022, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Huguan Siou yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Pegawai Daerah Keningau yabg juga pengerusi penganjur, Walter Kenson.

Hajiji berkata, rakyat Sabah sejak dari kecil menerima fakta yang mereka hidup harmoni bersama walaupun berbeza kaum, agama dan kepercayaan.

Sehubungan itu, katanya adalah sesuatu yang bahaya jika ada sesiapa atau mana-mana pihak cuba memecah belah perpaduan yang dipupuk sejak sekian lama.

“Kita perlu sama-sama ingat bahawa perpaduan dalam kepelbagaian menbolehkan kita hidup bersama dengan harmoni dan menghormati serta menerima antara satu sama lain,” katanya.

Katanya, beliau menentang dengan keras mereka yang menggunakan perkauman, agama dan malah sentimen politik untuk menghancurkan keadaan harmoni rakyat Sabah.

Berikutan itu, Hajiji menggesa rakyat untuk terus bekerja dan bergerak ke hadapan bersama dengan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) dan melakukan yang terbaik untuk negeri ini.

Sementara itu, Hajiji berkata Pesta Kaamatan adalah perayaan yang penting di Sabah, khususnya dalam kalangan komuniti Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) serta etnik lain di Sabah.

“Saya berharap perayaan ini akan terus menjadi landasan untuk meraikan budaya dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, selaras dengan semangat Kaamatan, Hajiji berkata usaha meningkatkan pengeluaran padi dan hasil pertanian yang lain akan terus diberikan tumpuan.

Katanya, bagi tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan RM561.81 juta untuk pertanian yang menjadi sektor produktif dalam menyediakan makanan kepada rakyat, pekerjaan dan perniagaan selain bekalan bahan mentah untujmk sektor pembuatan.

Jelasnya, pelbagai usaha diambil untuk memastikan Sabah dapat menggandakan pengeluaran makanan sehingga dua kali ganda pada 2030 dan setakat ini berjaya memoden serta menggandakan hasil tuaian padi menerusi langkah diambil Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri.

“Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (APCC) yang pertama di Sabah akan dibuka bulan depan bagi memenuhi permintaan 50 juta tan metrik hasil pertanian bernilai tinggi seperti sayuran, buah-buahan dan bunga segar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|