Covid-19 Sabah: Hanya 14 kes di Sabah hari ini

Kota Kinabalu: Hanya 14 kes baharu Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini, menjadikannya antara jumlah kes harian terendah sejak Covid-19 dikesan menular ke negeri ini bermula pada 11 Mac 2020.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah itu adalah hasil penurunan sebanyak 34 kes daripada 48 kes yang direkodkan semalam.

Katanya, hanya lima daripada 27 daerah di Sabah merekodkan jangkitan baharu dengan jumlah tertinggi sebanyak enam kes di Kota Kinabalu, diikuti Sandakan (empat kes), Papar (dua kes) dan masing-masing satu kes di Beluran dan Kunak.

“Sebanyak 22 daerah lagi tidak merekodkan sebarang kes baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu.

“Sebanyak 13 daripada 14 kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2, manakala satu kes lagi dalam Kategori 3. Tiada kes baharu dalam Kategori 4 dan Kategori 5,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masidi bagaimanapun mengingatkan, perang melawan Covid-19 belum selesai, sebaliknya tanggungjawab itu kini dipikul oleh orang ramai melalui sikap dan gaya hidup yang menitikberatkan keselamatan kesihatan diri dan keluarga.

Katanya, pelbagai kelonggaran operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di seluruh negara bermula hari ini selaras dengan tempoh peralihan negara ke fasa endemik tidak boleh dibiarkan melekakan masyarakat dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

“Begitu juga sambutan perayaan dengan Kaamatan sudah bermula hari ini dan Aidilfitri dalam sehari dua lagi tidak harus dibiarkan melekakan kita dalam usaha memerangi Covid-19. Semua bergantung kepada sikap kita sendiri ketika menyambut kedua perayaan ini.

“Semua lapisan masyarakat diharap akan terus mengamalkan sikap yang bertanggungjawab bagi memastikan angka jangkitan di Sabah kekal rendah,” katanya.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri turut mengambil kesempatan sempena sambutan Hari Pekerja hari ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua pekerja, khususnya pekerja barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi Covid-19 sehingga berjaya mencapai hasil yang baik pada hari ini.

“Tahap pematuhan yang tinggi kepada semua SOP dalam kalangan rakyat jelata juga adalah faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan kita membendung penularan virus Covid-19 setakat ini,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 1 Mei 2022
Sabah 14 (48)

Kota Kinabalu 6 (12)
Sandakan 4 (6)
Papar 2 (0)
Beluran 1 (1)
Kunak 1 (1)
Beaufort 0 (0)
Kalabakan 0 (0)
Keningau 0 (1)
Kinabatangan 0 (0)
Kota Belud 0 (1)
Kota Marudu 0 (0)
Kuala Penyu 0 (1)
Kudat 0 (0)
Lahad Datu 0 (2)
Nabawan 0 (0)
Penampang 0 (8)
Pitas 0 (0)
Putatan 0 (4)
Ranau 0 (0)
Semporna 0 (2)
Sipitang 0 (1)
Tambunan 0 (0)
Tawau 0 (4)
Telupid 0 (0)
Tenom 0 (2)
Tongod 0 (0)
Tuaran 0 (2)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 30 April 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|