Tubuh kerdil tidak halang miliki segulung ijazah

Tubuh kerdil tidak halang miliki segulung ijazah

Kota Kinabalu: Walaupun hanya memiliki ketinggian 120 sentimeter, namun ia tidak menghalang seorang yang bertubuh kerdil untuk menggenggam segulung ijazah sarjana.

Itu dibuktikan Ceteria Nuraqilah Yahya Ariff, 29, yang menjadi salah seorang graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Majlis Konvokesyen UMS ke-22, baru-baru ini.

Penerima Ijazah Sarjana Sains Komputer (Kecerdasan Pengkomputeran) itu berkata, kekurangan yang ada pada diri tidak pernah melemahkan semangatnya untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran.

Katanya, sebalik kekurangan itulah yang menjadikan motivasi bagi dirinya untuk membuktikan beliau boleh berjaya seperti insan lain.

“Kedua ibu bapa saya juga sentiasa memberikan sokongan yang tinggi untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana ini.

“Pensyarah dan rakan-rakan juga memahami keadaan saya dan sentiasa menyokong sepanjang perjalanan pengajian di UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Dewan Canselor, selepas menerima skrol ijazah sarjana, di sini.

Ceteria berkata, dia bersyukur kerana tidak perlu berhadapan dengan cabaran pembelajaran atas talian ketika kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada 2020.

“Pada ketika itu, saya sudah membuat persiapan akhir untuk pembentangan projek tahun akhir.

“Oleh itu, saya tidak terlalu terkesan untuk menghabiskan tugasan-tugasan pengajian saya semasa PKP dilaksanakan.

“Malah saya juga turut memanfaatkan masa dengan bekerja sebagai tutor peribadi,” katanya.

Ceteria yang berasal dari Perak turut menanam tekad melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah pada masa akan datang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|