Covid-19 Sabah: Kadar jangkitan sporadik kembali tinggi

Covid-19 Sabah: Kadar jangkitan sporadik kembali tinggi

Kota Kinabalu: Sabah kembali mencatat jangkitan Covid-19 secara sporadik yang tinggi dengan 64.22 peratus daripada 313 kes yang dilaporkan pada hari ini berbanding hanya 57 peratus semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata situasi itu menunjukkan risiko jangkitan Covid-19 dalam masayarakat juga semakin tinggi.

“Sekali lagi rakyat diingatkan agar sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) khususnya ketika berada di khalayak ramai lebih-lebih lagi di tempat yang sesak,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata jangkitan harian Covid-19 di Sabah kembali menunjukkan situasi peningkatan.

Katanya, 313 kes baharu hari ini menunjukkan peningkatan sebanyak 62 kes daripada 251 kes yang dilaporkan semalam.

“Kes harian yang semakin naik adalah sejajar dengan trend pertambahan jangkitan baharu di lebih banyak daerah di Sabah.

“Hari ini 14 daerah mencatatkan pertambahan yang didahului Kota Kinabalu dengan 104 kes baharu, naik 40 kes berbanding semalam.

“Daerah Putatan pula mencatat 30 kes, diikuti Papar (28) dan Penampang (23) semuanya mencatatkan peningkatan jangkitan baharu, manakala daerah yang mencatatkan penurunan kes harian adalah pada kadar yang kecil,” katanya.

Bagaimanapun katanya, daerah Telupid, Tongod dan Nabawan tidak mencatat sebarang kes baharu hari ini.

Masidi berkata, seramai 305 orang atau 97.45 peratus daripada 313 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, diikuti dua orang dalam Kategori 3 dan masing-masing tiga orang dalam Kategori 4 dan Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 30 Mac 2022
Sabah 313 (251)

Kota Kinabalu 104 (64)
Putatan 30 (13)
Papar 28 (16)
Penampang 23 (16)
Tuaran 18 (23)
Sandakan 11 (18)
Kota Marudu 11 (2)
Beaufort 11 (13)
Pitas 9 (2)
Tawau 9 (5)
Sipitang 7 (12)
Beluran 6 (13)
Ranau 6 (5)
Keningau 6 (14)
Tambunan 5 (4)
Tenom 5 (3)
Kudat 5 (4)
Kota Belud 5 (6)
Lahad Datu 4 (3)
Kuala Penyu 3 (4)
Kunak 3 (2)
Kinabatangan 2 (3)
Semporna 1 (2)
Kalabakan 1 (0)
Telupid 0 (0)
Nabawan 0 (2)
Tongod 0 (2)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 29 Mac 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|