Bersatu di Sabah kukuh – Wan Saiful

Bersatu di Sabah kukuh – Wan Saiful

Kota Belud: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yakin kedudukan Bersatu di Sabah semakin kukuh sejak awal penubuhannya di negeri ini.

Malah beliau berkata, jentera parti di setiap bahagian dan sayap di seluruh Sabah lebih bersemangat dalam usaha memenangkan parti pada pilihan raya akan datang.

“Bersatu di Sabah saya ingat semakin lama, semakin kuat dan sejak penubuhannya semakin lama semakin kukuh.

“Semalam pun saya bertemu dengan Ketua-Ketua Penerangan Bahagian dan Sayap-Sayap di seluruh negeri Sabah dan saya lihat semangatnya semakin lama semakin baik dan kuat untuk terus bekerja memenangkan parti,” katanya selepas menyempurnakan Program Si Cilik Ke Sekolah Bersama Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Kawasan Kota Belud, di Dewan Masyarakat Tun Said, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada situasi politik semasa di peringkat Pusat mempengaruhi politik di Sabah.

Wan Saiful dalam pada itu menjelaskan bahawa suasana politik di negeri ini berbeza dan tidak sama dengan negeri lain di Semenanjung atau Sarawak.

“Saya rasa suasana di Sabah tidak sama dengan di Sarawak, tidak sama dengan suasana di Semenanjung, suasana di Semenanjung pun di satu negeri dengan negeri lain berbeza.

“Jadi itu adalah keunikan-keunikan di negeri masing-masing, lebih baik untuk diuruskan oleh pemimpin setempat.

“Bagi saya persaingan politik ini perkara biasa yang pentingnya persaingan politik menganggu usaha-usaha untuk menjaga kebajikan rakyat,”

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat sudah letih dengan permainan politik oleh pemimpin-pemimpin politik itu sendiri.

“Pengalaman saya di Melaka, di Johor yang ada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, saya melihat betapa rakyat sebenarnya sudah letih dengan politik yang tidak habis-habis bergaduh.

“Jadi kalau kita teruskan sifat tersebut, kebimbangan saya habis semua orang politik akan dilabel sebagai perangai sama, sedangkan yang buat masalah hanya beberapa orang saja,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemimpin politik kembali kepada usaha untuk membantu memperjuangkan kebajikan rakyat dan pembangunan ekonomi serta dasar kerajaan.

“Bukan semata-mata meraih kuasa, mengaut kuasa untuk kepentingan peribadi dan menyelamatkan diri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|